KHAIRULANUAR YAHAYA  |  24 Jun 2016 3:47 PM

KUALA LUMPUR 24 Jun – Jawatankuasa Khas Selamatkan Malaysia Airlines (MAS), Majlis Perunding Melayu mahu Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Malaysia Airlines Bhd. (MAB), Christoph R. Mueller dipecat serta merta.

Pengerusi jawatankuasa tersebut, Tan Sri Dr. Abdul Aziz A. Rahman berkata, tindakan Mueller menuduh pekerja MAS tidur semasa waktu bekerja amat biadap.

“Lembaga Pengarah wajib memecat Mueller serta merta daripada jawatannya. Tidak guna meminta Mueller meminta maaf kerana orang seperti beliau tiada budaya maka pada beliau permohonan maaf tidak membawa apa-apa makna,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung MPM, Datuk Hasan Mad .

Mueller dilanda kontroversi apabila portal stesen penyiar Jerman, Deutsche Welle (DW) menyiarkan kenyataan beliau bahawa dalam kalangan 20,000 kakitangan yang bekerja untuk MAB ketika beliau mengambil alih syarikat tersebut, tidak mempunyai apa-apa untuk dilakukan.

Portal itu melaporkan Mueller berkata, ketika beliau berjalan di hangar, ada pekerja yang tidur dan itu menyebabkan beliau terpaksa secara radikal mengurangkan 6,000 pekerjaan.

Abdul Aziz berkata, MPM beranggapan kebiadapan dan keceluparan Mueller adalah disebabkan kerusi Lembaga Pengarah MAB diduduki mereka yang tidak kompeten.

“Majoriti mereka ini pernah menerajui MAS dan terbukti di zaman kepimpinan mereka prestasi MAS merundum berterusan. Kini semua mereka yang gagal itu menduduki Lembaga Pengarah MAB,” kata Aziz.

Dalam sidang akbar tersebut, MPM turut mendesak semua Lembaga Pengarah MAB meletakkan jawatan dengan cara terhormat.

“Jika mereka enggan, jawatankuasa ini akan menghantar surat bantahan rasmi minggu depan kepada Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah), mendesak Khazanah memecat kesemua mereka. Ini kerana mereka adalah dalam kalangan pengurusan yang pernah menggagalkan MAS,” katanya.

Mueller yang merupakan bekas CEO Aer Lingus sejak tahun 2009 dilantik sebagai CEO dan Pengarah Bukan Eksekutif MAB yang baharu pada 1 Januari 2015.

Pelantikan itu antara 12 pelan pemulihan syarikat penerbangan negara oleh Khazanah. Bagaimanapun tidak sampai setahun dilantik, pada 19 April lalu Mueller dilaporkan akan meninggalkan MAB berkuat kuasa September 2016.

Menurut MAB, Mueller sendiri memohon untuk meletakkan jawatan iaitu lebih awal daripada kontrak perkhidmatan tiga tahun yang diberikan kepadanya.

Jelas syarikat itu, Mueller akan terus berkhidmat bersama MAB sehingga September ini bagi memenuhi notis enam bulan perletakkan jawatannya.

Pada masa sama, Mueller melahirkan hasrat untuk terus kekal sebagai Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MAB selaku Pengarah Bukan Eksekutif.- UTUSAN ONLIN

– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mueller-perlu-dipecat-serta-merta-mpm-1.346556#sthash.KQXjtVR5.dpuf

 

 

Advertisements