26 Jun 2016 6:00 PM

ANALISIS MINGGUAN: BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

“Adalah tidak adil membuat tuduhan sedemikian ketika kakitangan tidak berpeluang mempertahankan diri. Walaupun saiz tenaga pekerja didapati berlebihan di syarikat penerbangan nasional itu yang sebelum ini dikenali sebagai Malaysia Airlines System (MAS), tentu ada cara lebih bijak bagi Mueller memberikan rumusan yang membina. Lagipun, semua orang tahu, kerugian besar yang berpanjangan dialami oleh MAS disumbangkan oleh pelbagai faktor termasuk harga produk dan bekalan begitu tinggi, yang diakui Mueller.”

Kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB) Christopher Mueller bahawa sebahagian daripada 6,000 pekerja yang diberhentikan kerana didapati sering tidur pada waktu bekerja, adalah mengejutkan.

Awang hairan seorang yang dipilih menerajui MAB sanggup mengeluarkan kenyataan tersebut. Mueller sepatutnya tahu menjaga sensitiviti. Jika tidak mahu menghargai sumbangan 6,000 pekerja yang diberhentikan itu atau enggan bersimpati atas kehilangan punca pendapatan mereka, lebih baik berdiam.

Adalah tidak adil membuat tuduhan sedemikian ketika kakitangan tidak berpeluang mempertahankan diri. Walaupun saiz tenaga pekerja didapati berlebihan di syarikat penerbangan nasional itu yang sebelum ini dikenali sebagai Malaysia Airlines System (MAS), tentu ada cara lebih bijak bagi Mueller memberikan rumusan yang membina. Lagipun, semua orang tahu, kerugian besar yang berpanjangan dialami oleh MAS disumbangkan oleh pelbagai faktor termasuk harga produk dan bekalan begitu tinggi, yang diakui Mueller.

Kesatuan sekerja MAB antaranya NUFAM dan Majlis Perundingan Melayu (MPM) serta beberapa tokoh termasuk bekas Pengerusi MAS, Abdul Aziz A. Rahman mendesak Mueller mohon maaf atas keceluparannya. Bukan itu sahaja MPM dan Abdul Aziz menggesa beliau dipecat serta-merta kerana kegagalannya memulihkan MAB. Ini termasuk isu pengambilan 15 ekspatriat menyandang pelbagai jawatan penting sehingga terhakisnya kepakaran tempatan di peringkat pengurusan.

Mueller sebelum ini mengumumkan akan berundur daripada MAB pada September ini. Beliau dilantik pada Mac 2015 selepas syarikat itu terjejas teruk ekoran dua nahas iaitu MH370 dan MH 17 pada 2014 yang menggemparkan dunia. Awang yakin Khazanah Holdings dan Lembaga Pengarah MAB mendapat mesej yang sangat jelas daripada perkembangan terbaharu ini. Dalam pelan pemulihan juga adakalanya perlukan pemulihan.

– Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/analisis-mingguan-bisik-bisik-awang-selamat-1.347048#sthash.XjFly3cG.dpuf

Advertisements